Pantun Melayu Malaysia Majlis Pertunangan

 

Pantun Melayu - Di mana orang berkampung di sana pantun bersambung. Di mana ada nikah kahwin di sana pantun dijalin. Di mana orang berunding di sana pantun bergandeng. Di mana orang bermuafakat di sana pantun diangkat. Di mana ada adat dibilang, di sana pantun diulang. Di mana adat dibahas di sana pantun dilepas.


Pantun Majlis Pertunangan dan Perkahwinan

Masuk ke kota waktu malam,
Terbau harum bunga dahlia;
Bismillah kata pembuka kalam,
Assalamualaikum majlis mulia?

Daun nilam dibasuh bersih,
Lepas disejat menjelang petang;
Waalaikumussalam terima kasih,
Apa hajat rombongan yang datang?

Bawa jerami muatan sendat,
Singgah di beting tepian laman;
Datang kami kunjung beradat,
Ingin menyunting bunga di taman

Udara nyaman di subuh hari
Embun menitik di jala bersirat,
Bunga di taman kembang berduri,
Hendak memetik harus bersyarat.

Buah pauh lebat di batang,
Mana nak sama buah kuini;
Dari jauh kami datang,
Menurut saja adat di sini.

Petang-petang cari berangan,
Berangan di hulu Seberang Nyonya;
Selamat datang ke taman larangan,
Kalau nak lalu mana kuncinya?

Dari Setul pakai terendak,
Singgah berhenti tepi beranda;
Kuncinya ada kami bawa,
Berapa ketuh Mak Andam nak?

Sambil bertingkah teruna dara,
Memakan pinang tepaknya sendat;
Surat watikah pembuka bicara,
Majlis pertunangan mengikut adat.

Orang membelat di tepi pantai,
Banyak dapat ikan tembakul;
Yang kami hajat sudah tercapai,
Yang kami minta sudah termakbul.

Pohon pupur pohon delima,
Tumbuhnya rapat antara batang,
Di seberang sana bertanah lembut;
Sirih dikapur tanda terima,
Hajat beradat kami menatang,
Ini bermakna gayung bersambut.

Bawa joran ke Alor Malai,
Singgah berhenti tepi beranda;
Eloknya hantaran dari mempelai,
Kami balasi sekadar yang ada.

Batang jerami mari dikandar,
Buat baja kebun seberang;
Majlis kami seala kadar,
Maafkan saja apa yang kurang.

Ikat tengkolok berbelang-belang,
Letak di ceruk atasnya guni;
Apa yang elok bawalah pulang,
Mana yang buruk tinggalkan di sini.
Masuk ke kota waktu malam,


Pantun Nusantara Majlis Pertunangan dan Perkahwinan di petik dari Setaman Pantun Kenangan diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pada tahun 2006 karya Abdul Halim "R".



Catat Ulasan

0 Ulasan

RAKAMAN VIDEO

PROMOSI EMCEE KAHWIN